Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri

Pengenalan

5hb Julai 2021 | Alor Setar

Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 2/2021

Info

Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) Bil. 2/2021 telah diadakan secara atas talian bagi menepati Standard Operating Procedure (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Negeri Kedah. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YAB. Haji Muhammad Sanusi bin Md. Nor, Menteri Besar Kedah dengan turut dihadiri oleh tiga (3) orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMKN) iaitu YB. Dato’ Wira Ku Abd. Rahman bin Ku Ismail, YB. En. Robert Ling Kui Ee dan YB. Dato’ Suraya binti Yaacob sebagai ahli tetap.

Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMKN) bertarikh 9 Mac 2021, mesyuarat telah bersetuju agar Ahli MMKN (Exco) turut hadir di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Kedah. Sehubungan itu, enam (6) orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMKN) iaitu YB Encik Azman bin Nasrudin, YB. Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah binti Ghazali, YB. Hajah Halimaton Shaadiah binti Saad, YB. Encik Romani bin Salin, YB. Brigidier Jeneral Dato’ Haji Najmi bin Haji Ahmad dan YB. Tuan Mohd. Firdaus bin Ahmad turut pertama kalinya hadir bersama-sama ahli –ahli Mesyuarat JPN Bil. 2/2021 ini.

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri Kedah seperti YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Kedah, YB. Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Timbalan Ketua Setiausaha Negeri Kedah (Pembangunan) dan Pengarah-pengarah jabatan teknikal negeri seperti Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Jabatan Alam Sekitar, Pengarah Unit Pembangunan Negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Dato’ Bandaraya Alor Setar dan semua Pegawai Daerah Negeri Kedah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Bahagian Kerajaan Tempatan dan Pegawai Perancang Bandar di PBT serta PLANMalaysia@Kedah antara yang hadir menyempurnakan Mesyuarat JPN kali ini.

Antara intipati ucaptama YAB. Menteri Besar Kedah pada pembukaan mesyuarat berkenaan adalah berkisar Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 iaitu kerajaan negeri berharap agar Sistem Kesihatan Awam Negeri Kedah tidak lagi berada di peringkat kritikal dengan kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan dalam usaha untuk memastikan 10 peratus populasi penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin. YAB. Menteri Besar Kedah turut memaklumkan mengenai Pencapaian Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Domestik (DDI) di Negeri Kedah yang tertinggi di Malaysia hasil keyakinan pelabur dan semua pemegang taruh serta komitmen pegawai kerajaan di semua peringkat dalam memajukan Negeri Kedah. Selain itu, beliau turut memaklumkan berkenaan Pelancaran Buku “Smart City Handbook: Malaysia” yang merupakan salah satu usaha Kerajaan Malaysia melalui KPKT dalam merancakkan pembangunan bandar pintar di Malaysia. Beliau turut mengharapkan agar pembangunan masa hadapan Negeri Kedah ke arah melahirkan bandar pintar bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, pertumbuhan ekonomi yang dinamik, mewujudkan alam sekitar yang mampan dan menggalakkan pengurusan bandar yang lebih cekap.

Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil.2/2021 telah membentangkan dua kertas kerja dasar, dua Kertas Kerja Penggantian / Pengubahan Rancangan Tempatan dan dua kertas kerja pemakluman bagi projek-projek kerajaan negeri yang diurus dan diselia oleh Jabatan Kerja Raya. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 12.45 tengahari.

Galeri

Gambar Program

QR Kod portal rasmi PLANMalaysia Kedah
Kod QR PMK
Image
Image
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kedah
(PLANMalaysia Kedah)
Aras 10, Bangunan Sultan Abdul Halim Alor Setar Kedah
Tel :+604 - 729 1888
Emel : jpbd@kedah.gov.my