Sesuatu projek pembangunan yang terletak di dalam atau berdekatan dengan kawasan sensitif sosial boleh mencetus sensitiviti dan mendatangkan konflik kepada sesebuah masyarakat yang tinggal atau mempunyai hubungan serta kepentingan terhadap kawasan tersebut.
Contoh kawasan-kawasan sensitif sosial adalah seperti berikut:
- Kawasan, bangunan atau tapak yang mempunyai unsur keagamaan di mana ia berfungsi sebagai rumah ibadat dan tempat menjalankan aktiviti sosial dan menyambut perayaan sesuatu kaum serta sebagai tanah perkuburan (Contoh: Rumah ibadat agama Islam dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) seperti kuil dan Gurdwara, Wat Siam dan Kemboja serta tapak perkuburan semua jenis agama);
- Kawasan penempatan Orang Asli termasuk tanah rizab atau tanah adat, kawasan rayau, tanah pertanian dan perkuburan masyarakat Orang Asli;
- Krematorium (fasiliti pembakaran mayat) dan kolumbarium (fasiliti simpanan abu mayat);
- Kampung tradisi yang diiktiraf oleh Kerajaan negeri; Penempatan kelompok masyarakat bukan warganegara seperti masyarakat Siam dan Kemboja yang telah lama menetap di sesuatu kawasan dan keterampilan ciri-ciri budaya dan keagamaan yang masih utuh dalam kalangan masyarakat tersebut;
- Kawasan, bangunan atau tapak warisan yang mempunyai nilai sejarah yang diiktiraf oleh badan atau organisasi tertentu di mana ianya melambangkan pertautan identiti masyarakat setempat. Contoh: Tapak Arkeologi Lembah Lenggong.
Kawasan kemudahan awam yang utama dari sudut kesihatan, pendidikan dan rekreasi di mana ia memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada komuniti setempat malah dalam lingkungan capaian yang luas seperti hospital, institusi pendidikan dan taman- taman awam.