Turut hadir ke majlis ini adalah YB Mejar (B) Mansor Bin Zakaria, Pengerusi JK Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kesihatan merangkap ADUN Kuala Ketil, YB Brig. Jen. (B) Dato’ Haji Najmi Bin Haji Ahmad, ADUN Kupang, YB Encik Mohd Taufik Bin Yaacub, ADUN Bayu, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi Bin Haji Mohd Mustapha, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya, Pegawai Daerah Baling merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Baling, YBrs. Encik Mohd Munizam Bin Abd Aziz, Pengarah PLANMalaysia Kedah mewakili Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBrs. Puan Noraida Binti Abdul Rani, Pengarah Pejabat Projek Zon Utara serta ketua-ketua jabatan peringkat persekutuan dan negeri, Ahli-Ahli Majlis, wakil-wakil PBT, wakil-wakil komuniti setempat, wakil-wakil pihak berkepentingan, wakil-wakil pusat pengajian dan wakil-wakil perunding.
Majlis ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan (nyanyian, tarian, alat muzik) etnik dari Suku Kensui mewakili tradisi dan budaya tempatan Daerah Baling di mana Daerah Baling satu-satunya daerah di Negeri Kedah yang didiami Orang Asli. Terdapat juga pameran-pameran produk tempatan Daerah Baling seperti produk makanan, hasil pertanian (jambu madu, cendawan tiram), produk kraftangan ukiran kayu, pameran produk pelancongan, pameran perunding Rekarancang Sdn. Bhd. serta pameran dari jabatan sendiri yang mempamerkan Cadangan Pelancongan Gua-Gua di Rangkaian Gunung Pulau yang telah diintegrasikan ke dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Baling, Kedah 2035 (Penggantian) ini.
Tema Pembangunan Daerah Baling adalah Baling Bahagia dengan hala tuju pembangunan Baling Daerah Eko Pelancongan Dan Berdaya Huni menjelang tahun 2035.
Orang ramai masih berpeluang untuk menyemak laporan serta mengemukakan bantahan/cadangan di lokasi pameran yang sedang dijalankan sehingga 29 November 2023.